Wednesday 9 March 2011

TANYA TENTANG ISLAM - HIMPUNAN SOALAN DARI KULIAH DI MARANG VILLAGE



Dalam siri kuliah dan tazkirah sepanjang 3 hari di Marang Village,banyak soalan yang diajukan oleh peserta kem kepimpinan ini berkenaan dengan hukum hakam dan isu-isu yang berkaitan dengan Islam dan penganutnya. Sebahagian besar daripada soalannya tentang fardhu ain dan akhlak. Namun tidak kurang juga soalan-soalan berkaitan akidah,perundangan dan isu semasa. 

Secara peribadi saya kagum dengan sifat ingin tahu para pemimpin-pemimpin muda ini sekalipun mereka bukan datang dari sekolah yang berlatarbelakangkan agama. Saya doakan semoga Allah memberi mereka kekuatan untuk mendalami Islam dan mengamalkannya dalam dunia yang mencabar akidah,personaliti dan intelek seorang Muslim.

Semua jawapan akan dipersembahkan dengan jelas berserta rujukannya namun cukup ringkas supaya difahami pembaca. Perlu difahami bahawa penerangan hukum bukanlah perkara yang mudah kerana terdapat isu-isu agama yang kompleks hingga melahirkan perbezaan pendapat dikalangan ulama. Metode yang digunakan di sini ialah mengambil hukum yang paling hampir dengan al-Quran ataupun hadis.

Di sini saya lampirkan himpunan sebahagian daripada soalan-soalan agama yang diajukan.


Soalan : Ustaz,adakah seseorang itu dianggap ikhlas sekiranya ibadah yang dilakukan semata-mata kerana takutkan siksaan Allah?
Jawapan : Kunci untuk keikhlasan beribadah itu ialah Lillahi Taala(kerana Allah Taala). Sama ada dalam bentuk harapan kepada kebaikan(rajaa’),atau dalam bentuk ketakutan kepada azab yang menanti bagi yang engkar(khauf). Kedua-duanya bertepatan dengan konsep Lillahi Taala. Asalkan niat ibadah itu kita sandarkan pada Allah maka dikira sebagai Ikhlas.




Soalan : Bolehkan seseorang itu berlunjur kaki di dalam surau atau masjid ke arah kiblat?
Jawapan : Dalam masyarakat melayu amalan tersebut tidak disukai kerana perbuatan berlunjur kaki ketika duduk dianggap kurang sopan,apatah lagi apabila ke tempat yang dihormati seperti arah kiblat. Namun terdapat hadis yang menunjukkan bahawa perbuatan ini dibolehkan di luar solat.

Daripada Abdullah bin Zaid al-Mazini. Dia melihat Rasulullah SAW berbaring terlentang di dalam masjid sambil meletakkan salah satu kakinya ke atas kaki yang satu lagi.
Direkod dalam Sahih Bukhari (no: 463) dan Sahih Muslim (no: 2100).

Berdasarkan hadis ini,ulama mengharuskannya dengan syarat menjaga aurat ketika melakukannya. Tetapi perbuatan ini dilarang dilakukan dalam solat kecuali bagi yang uzur(sakit) dan tidak boleh membengkokkan kaki ketika solat.

Rasulullah s.a.w. melarang kita berlunjur kaki dalam sembahyang, atau di hadapan perempuan melainkan di hadapan isteri atau hamba. (Riwayat Darul Quthni)
  


Soalan : Ustaz,kenapa orang zaman sekarang suka mengutuk dan menghina orang lain?
Jawapan : Islam melarang kita menggunakan lisan kita untuk menyakiti orang lain seperti firman Allah dalam Surah al-Hujuraat.


Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.


Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Dari firman di atas,jelaslah Islam menitikberatkan soal komunikasi sesama manusia. Terdapat beberapa larangan Allah dalam dua ayat ini iaitu :-
  • Jangan merendah-rendahkan golongan lain kerana mungkin yang lain itu lebih baik dari kita.
  • Jangan kita mendedahkan keaiban orang yang lain sama ada yang dirahsiakan atau yang nyata.
  • Tidak boleh bagi seorang Muslim itu memberi gelaran yang buruk kepada yang lain. Perbuatan tersebut akan menyebabkan yang menggelar itu menjadi fasiq (orang yang melakukan dosa besar). Selagi dia tidak bertaubat,dia akan dipandang zalim oleh Allah.
  • Larangan bersangka buruk kerana sangkaan itu belum tentu benar malah kemungkinan besar salah.
  • Jangan mengintip dan berusaha mencari kesalahan orang.
  • Larangan keras perbuatan mengumpat kerana ia umpama meratah daging bangkai saudaranya.
Memang benar kini manusia lebih bebas berkata-kata hingga lupa akan batasan lidahnya. Kebebasan berbicara tidak memberi kita tiket untuk berpaling dari peringatan Allah. Oleh itu, kita mesti sentiasa sedar akan kata-kata yang keluar dari mulut kita. Sayangilah saudara kita seagama,jauhilah dari menyakiti mereka dengan lisan kita.





Soalan : Betulkah kebaikan kita akan menghapuskan dosa-dosa kita?
Jawapan : Dalam hal dosa,perlu difahami adanya dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar boleh diampunkan dengan syarat kita hendaklah bertaubat(kecuali syirik). Manakala dosa-dosa kecil boleh diampunkan juga dengan melakukan ibadat-ibadat tertentu seperti puasa,qiamullail (ibadah diakhir malam),solat sunat dan  solat fardhu pada awal waktu.




Soalan : Adakah semua perbuatan baik dikira ibadah?
Jawapan : Dalam Islam,ada 2 jenis ibadah 1. Khas, 2. Am. Ibadah khas kita akan diterima Allah dan diberi ganjaran pahala sekiranya kita melakukannya dengan sempurna seperti yang diajarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Ibadah am pula adalah segala perbuatan kebaikan kita yang diniatkan kerana Allah. Malah sesetengah pendapat mengatakan bahawa amalan kebaikan kita dikira sebagai ibadah walaupun tidak diniatkan sebagai ibadah.


No comments:

Post a Comment