Sudah menjadi lumrah insan,bila kita berada dalam kesusahan,kita akan kembali mengingati Tuhan. Rasulullah mengajar kita,apabila masalah melanda sebelum memohon pada Yang Esa hendaklah kita sedari hanya dengan bantuan-Nya kita akan berjaya keluar dari kesusahan kita. Pohonlah supaya Allah tidak meninggalkan kita di saat kesusahan ini. InsyaAllah Taufiq-Nya akan menyinari hidup ini. Sama-sama kita muhasabah diri kita di hari Jumaat yang mulia ini.
Showing posts with label kuliah pilihan. Show all posts
Showing posts with label kuliah pilihan. Show all posts
Friday, 24 June 2011
Friday, 8 April 2011
KULIAH PILIHAN - Jangan Bersedih...Allah bersama kita.
Tatkala dunia dirasakan makin menghimpit,resah gelisah mula melanda. Masalah jiwa yang berpanjangan seolah-olah tiada penghujungnya. Silap yang sekelumit membuat hidup kita seakan-akan sudah hancur berkecai dan sesat kita selangkah,sudahpun hilang punca untuk kembali ke asalnya. Dunia sering membuat kita rasa sebegitu.
Namun saudara seagamaku,usah risau kerana jalan keluar dari gundah gulana ini ada pada Yang Maha Esa, Ketenangan jiwa yang dicari selama ini hanya selangkah di hadapan kita. Kerana selangkah kita rapat pada pencipta kita...bagaikan seribu langkah kita makin didekati-Nya. Ikutilah tazkirah yang indah ini daripada Dr.Asri Zainal Abidin.
Friday, 25 March 2011
KULIAH PILIHAN - BERSIHKAN AKIDAH DARI AMALAN KARUT
Akidah adalah teras utama untuk menjadi seorang Muslim yang dekat dengan Allah. Asas kepada akidah ialah Tauhid iaitu kepercayaan kepada keesaan Allah yang mutlak. Seorang Muslim yang ingin dekat dengan Allah mestilah mempunyai kefahaman akidah yang kukuh dan bersih daripada segala unsur syirik dan khurafat.
KULIAH PILIHAN hari ini disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman,pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang juga merupakan seorang penasihat urusan muamalat professional khususnya dalam bidang perbankan Islam.
Klip video ceramah beliau ini menyentuh tentang pantang-larang masyarakat Melayu yang berunsur karut dan bertentangan dengan akidah yang sebenar. Anggaplah ini sebagai teguran kepada semua pembaca blog ini termasuk saya sendiri. Semoga kita jauhi amalan-amalan yang disebutkan ini.
Antara amalan-amalan pantang larang yang menyalahi akidah menurut beliau:-
- Kepercayaan bahawa apabila isteri sedang mengandung,suaminya tidak boleh mengasari binatang kerana khuatir terkena pada anak yang dikandungkan itu.
- Apabila rama-rama masuk ke dalam rumah dipercayai ada orang akan datang ke rumah. Wujudnya unsur percaya pada kuasa alam (animisme) dalam kepercayaan ini.
- Gatal tangan bermakna ada rezeki hendak masuk.
- Gelas atau kaca pecah menandakan perkara buruk akan berlaku. Ini dikatakan berasal dari kepercayaan Hindu seperti yang diakui oleh bekas penganutnya.
- Orang yang menghafal Quran tidak boleh lalu bawah ampaian,kelak hilang hafalannya. Ini tiada asas dalam Quran ataupun hadis. Barangkali orang dahulu kala berpesan sedemikian kerana risau terpandang aurat perempuan yang sedang menyidai kain ketika itu.
- Tidak boleh melihat ombak kerana setiap ombak yang menghempas pantai akan menarik ilmu seseorang ilmuan sehingga kurang ilmunya. Tiada dalil yang mendakwa sedemikian.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sentiasa diberi pengetahuan untuk membersihkan akidah kita dari pencemaran pemikiran yang merosakkan. Amiiin!!!
Friday, 18 March 2011
KULIAH PILIHAN - KELEBIHAN SURAH AL-IKHLAS
Sempena Jumaat yang mulia ini,digalakkan kita mempertingkatkan ibadah terutama sekali ibadah-ibadah khusus seperti solat dan perkara-perkara sunat yang lain. Ada ibadah-ibadah tertentu yang pada zahirnya nampak begitu ringkas namun ganjarannya di sisi Allah sangat besar seperti menyempurnakan wudhu dan membaca beberapa potong ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang besar ganjaran bacaannya ialah Surah al-Ikhlas.
Kuliah hari ini disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus,seorang ulama terkenal di negeri Terengganu kita ini. Sama-sama kita ikuti petikan kuliah beliau.
Antara intisari perbincangan beliau :-
- Kelebihan pahala Surah al-Ikhlas ialah,jika dibaca 3 kali pahalanya menyamai bacaan seluruh al-Quran al-Quran.
- Imam Hambali Rahimahullah pernah berkata bahawa sesiapa yang lalu di kawasan perkuburan lalu dibacanya Surah al-Ikhlas 11 kali maka pahalanya menyamai jumlah jenazah yang tertanam di situ (wallahu aa'lam).
- Isi kandungan utama surah ini ialah berkenaan akidah yang betul iaitu Tauhid - kepercayaan kepada keesaan Allah.
- Asas utama dalam Islam yang perlu didahulukan ialah mengenal Allah(Ma'rifatullah). Itulah pokok ilmu aqidah dalam Islam.
- Kita perlu mempelajari aqidah yang betul kerana aqidah yang salah akan membuatkan amal kita tidak diterima oleh Allah. Oleh itu sepertimana dalam ibadat,kita juga perlu mempelajari perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah supaya dapat dijauhi perkara tersebut.
- Orang yang tidak kenal Allah,tidak akan rasa cinta pada Allah. Orang yang tidak mengenali Tuhan juga tidak akan gerun pada-Nya. Kerana itulah manusia tidak takut untuk meninggalkan suruhan-Nya dan berani melakukan kemungkaran.
- Ibadah ringkas seperti membaca Surah al-Ikhlas 3 kali merupakan perkara yang sangat mudah untuk dilakukan,tapi masih jarang dilakukan. Ini kerana beratnya dosa seorang insan,sehingga menghilangkan rasa ringan untuk berbuat ibadah.
Wallahu aa'lam.
p.s. ceramah Ustaz Azhar disampaikan dalam loghat Terengganu pekat. Bagi sesetengah orang,mungkin sukar untuk memahami beberapa perkataan tertentu. Bagi yang tertanya-tanya....perkataan nabasiti bermaksud universiti.
Subscribe to:
Posts (Atom)