Monday, 7 March 2011

SIFAT REMAJA MUSLIM - LINTAS SIAR DARI MARANG VILLAGE,TERENGGANU

Remaja merupakan peringkat kehidupan yang penting dalam kehidupan manusia. Ia merupakan jambatan menuju kedewasaan. Pada peringkat ini, remaja sedar mereka melalui perkembangan pesat mental dan fizikal. Kejayaan remaja menempuhi alam remaja ini akan menentukan sifat-sifat yang akan dimiliki oleh mereka setelah dewasa.

Perkara yang dipelajari di usia ini mampu membentuk minda yang sihat dan fizikal yang kuat. Namun,proses perkembangan ini juga kadang-kadang  menghadirkan ketidakselesaan fisiologi yang juga akan menjurus kepada gangguan psikologi.

Tema keremajaan ini tidak ketinggalan mendapat perhatian agama kita. Islam mengiktiraf peringkat remaja ini sebagai peringkat yang sangat penting. Namun perspektif agama perlu kita bincangkan dari perspektif  pemeliharaan rohani dan pembentukan intelektual. Malah,remaja yang beriltizam kepada agama dijanjikan akan mendapat naungan Allah dari siksaan di akhirat kelak.

Sebagai muhasabah,mari kita sama-sama wujudkan satu ‘check-list’ sifat-sifat mahmudah yang diajarkan dalam al-Quran dan hadis. Semoga boleh menjadi panduan kepada remaja yang ingin menjadi Muslim yang cemerlang.

1.       Warak
Sifat rendah diri dan ketundukan yang sesuai dengan nama Islam itu sendiri yang bermaksud tuinduk dan patuh pada suruhan Allah dan ajaran Rasulullah S.A.W. Orang yang warak meninggalkan yang haram,mengelak perkara-perkara makruh(tidak disukai) dan menjauhi perkara-perkara yang syubhah(diragui). Dengan bersifat warak,remaja akan berasa bersalah untuk mendekati perkara-perkara yang boleh merosakkan diri dan orang lain.

2.       Benar dan jujur.
Rasulullah di usia muda sangat terkenal dengan sifat jujurnya sehingga beliau digelar al-Amin. Peristiwa baginda membantu pemimpin Quraisy memulangkan Hajarul Aswad ke Kaabah menjadi bukti kehebatan sifat jujur baginda.

Pesan Nabi:
      “Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga.”
 (Bukhari & Muslim)


3.       Qudwah Hasanah (Jadi contoh/ model yang baik)-
Remaja mestilah berusaha untuk menjadikan dirinya ikutan yang baik kepada orang lain. Remaja mestilah menjaga pertuturan, akhlak, makan minum, cara berpakaian, kerja dan sebagainya sama ada dalam keadaan senang ataupun ketika kesusahan.


Orang menilai daripada penampilan kita. Kalau penampilan kita baik, maka orang lebih mudah menerima nasihat kita. Kalau orang lihat kita pun orang dah tak berminat,   bagaimana hendak berdakwah. Jadikan diri kita seorang yang menarik, tapi dalam batas-batas Islam dengan tujuan kerana dakwah. (credit to : abulfiqar.tripod.com)

      Sudah tentu banyak lagi sifat-sifat mahmudah yang boleh dijadikan panduan oleh remaja Muslim. Namun di kesempatan masa yang singkat diperantauan ini,hanya ini yang sempat saya coretkan untuk kali ini. Semoga Allah mencantikkan akhlak kita sepertimana telah disempurnakan paras kita.

(Coretan ini adalah petikan dari siri kuliah maghrib yang disampaikan semasa Kem Pengawas SMK PAKA 2011)

No comments:

Post a Comment