Assalaamualaikum semua pembaca...
Harapnya masih belum terlambat untuk saya ucapkan Salam Aidilfitri untuk semua. Bersempena Syawal yang masih berbaki ini,seronok saya melihat rakan-rakan Muslimin Muslimat bertungkus lumus(ada yang berjuang) untuk menghabiskan ibadah Syawal khususnya puasa enam yang amatlah digalakkan. Saya doakan Allah beri ganjaran pahala puasa setahun sepertimana yang telah di'offer'kan kepada kita.
Eloklah kiranya saya ambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit bacaan berkenaan puasa enam. Harap-harapnya dapat menjadi panduan kita semua untuk menjadi Muslim yang Slim(slim dari sifat Mazmumah)
Tazkirah oleh Ustaz Buluh (Ustaz Muhammad Rashidi bin Haji Wahab) merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com.
Kini kita berada dalam bulan Syawal dan masih berbaki beberapa hari
sahaja lagi untuk melangkah ke bulan Zulkaedah. Sepanjang tempoh ini
juga kerap kali saya ditanyakan pelbagai persoalan mengenai perihal
puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Oleh itu, di sini saya ingin
mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan secara ringkas beberapa
persoalan yang berlegar di sekitar puasa enam Syawal ini.
Antara persoalannya adalah mengenai adakah puasa enam Syawal
perlu dilaksanakan secara berturut-turut atau sebaliknya. Sebenarnya
cara yang afdhal (terbaik) adalah berpuasa secara berturut-turut sebaik
sahaja selepas Aidilfitri yang pertama menurut pandangan mazhab Shafie
dan Hanafi.
Akan tetapi, cara demikian iaitu berpuasa berturut-turut selepas
Aidilfitri pertama tidaklah menjadi suatu rukun atau syarat terhadap
ibadat puasa enam Syawal ini. Malah ganjaran sunatnya tetap diperolehi
sekalipun dilakukan secara berselang-seli asalkan ia dikerjakan sebanyak
enam hari dalam bulan Syawal.
lni berdasarkan hadis daripada Abu Ayub RA, sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa pada
bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia
seolah-olah berpuasa sepanjang tahun" (Riwayat Muslim dan lain-lain)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa berpuasa enam
hari selepas hari raya Aidilfitri maka adalah dia mencukupi setahun.
Barangsiapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda." (Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain)
Berdasarkan hadis-hadis ini juga, mengerjakan puasa sunat sebanyak
enam hari dalam bulan Syawal diibaratkan oleh Rasulullah SAW bagaikan
berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai
puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan dua bulan. Jika
dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun.
Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Berpuasa sebulan
(disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari
selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu
(jika dicampurkan) genaplah setahun." (Riwayat al-Darimi)
Selain itu, persoalan lain yang sering timbul juga adalah mengenai manakah dahulu perlu diutamakan antara puasa qada' Ramadan dan puasa enam Syawal.
Perlu diingatkan bahawa mengqada' puasa Ramadan merupakan suatu
kewajipan yang perlu dilunaskan sebanyak hari yang ditinggalkan. Ia
merupakan 'hutang' manusia kepada Allah SWT. Namun
begitu, bagi sesiapa yang benar-benar keuzuran sehingga tidak berdaya
mengerjakan puasa, mereka tidak diwajibkan mengqada' puasa yang
ditinggalkan itu, tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan wajib atas orang-orang
yang tidak berdaya (berpuasa kerana keuzuran dan sebagainya) membayar
fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin." (Surah al-Baqarah: Ayat 184)
Dalam mengerjakan qada' puasa Ramadan, para ulama menyatakan bahawa
orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran, mereka dikehendaki
menyegerakan mengqada' puasa tersebut. Bahkan sebahagian ulama
berpendapat tidak diharuskan melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam Syawal selagi tidak selesai mengqada' puasa Ramadan.
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana
keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti perempuan haid atau nifas,
diharuskan bagi mereka mengerjakan puasa enam Syawal terlebih dahulu
sekalipun mereka masih mempunyai puasa qada' Ramadan.
Perkara ini mungkin berlaku disebabkan mereka berada di akhir Syawal
dan dikuatiri tidak sempat menghabiskan puasa enam Syawal. Pun begitu, mengutamakan puasa qada' Ramadan adalah lebih baik
jika mereka mempunyai waktu yang cukup untuk menghabiskan puasa qada'
Ramadan dan puasa enam Syawal dalam bulan Syawal itu juga.
Adapun mengenai persoalan niat puasa qada' dan puasa sunat secara
serentak, berlaku khilaf di kalangan ulama. Sebilangan ulama menyatakan
harus diniatkan dan ditunaikan puasa qada' Ramadan dan puasa sunat enam
Syawal secara serentak.
Namun kebanyakan ulama berpendapat jika dapat memisahkan puasa
tersebut iaitu melakukan puasa qada' Ramadan dan puasa enam Syawal pada
hari yang berlainan adalah lebih baik berbanding dengan berpuasa secara
serentak.
Berikut merupakan keterangan dan langkah-langkah yang boleh dijadikan panduan mengenai puasa serentak ini:
1. Selesaikan puasa qada' Ramadan terlebih dahulu sebelum
berpuasa enam Syawal. Ia adalah lebih baik dengan mengutamakan puasa
qada' Ramadan yang wajib terlebih dahulu sebelum berpuasa sunat. Hal ini
dilihat bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu
kepada (mengerjakan amalan kebaikan bagi) keampunan dari Tuhanmu dan
kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang berbuat kebajikan." (Surah ali-Imran: Ayat 133)
2. Namun jika kita tidak mampu melaksanakan puasa qada' Ramadan dan
puasa enam Syawal secara berasingan di dalam bulan Syawal, maka harus kita mendahulukan puasa enam Syawal terlebih dahulu.
Ini kerana puasa enam Syawal hanya boleh dikerjakan pada bulan Syawal
sahaja sedangkan puasa qada' Ramadan boleh dikerjakan selepas bulan
Syawal.
3. Jika kita tidak mampu juga melaksanakan puasa enam Syawal dan qada' Ramadan secara berasingan disebabkan keuzuran, maka puasa secara serentak antara puasa enam Syawal dan qada' Ramadan adalah langkah terbaik.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai permasalahan berkaitan puasa
enam Syawal yang sering menjadi persoalan di kalangan umat Islam di
Malaysia pada masa kini. Semoga dengan penerangan ini akan menjadikan
puasa enam Syawal kita lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
InsyaAllah.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment